PENDAHULUAN
Apabila kita terima apa-apa maklumat menerusi internet, sepatutnya lakukan sedikit-sebanyak kajian terlebih dahulu untuk mempastikan sejauh manakah kebenaran maklumat tersebut. Ada kalanya maklumat yang kita sangka bagus itu rupa-rupanya dicipta oleh musuh-musuh Islam. Mereka sengaja melakukan hal itu untuk merosakkan akidah umat Islam, mempersenda-sendakan umat Islam, memecah-belahkan umat Islam dsb.
Pada kali ini saya kongsikan pendedahan bahawa berita yang kononnya ditulis oleh Dr M Amjad Khan bertajuk E-CODE BABI adalah PALSU. Selamat membaca, semoga bermanfaat:
LATARBELAKANG BERITA PALSU MENGENAI KODE BABI
Ia bermula sekitar tahun 2009. Pada asalnya berita palsu ini ditulis dalam bahasa Inggeris, kemudian ada pihak yang telah menterjemahkan berita palsu itu ke bahasa Melayu dan meletakkannya di laman web mereka dan juga di Facebook dll. Saya telah cuba selidik laman manakah (antara) yang mula menyiarkan berita palsu itu, lalu bertemu satu laman yang dikendalikan oleh seorang yang bernama Yasir Imran Mirza. Alamatnya seperti berikut:
http://yasirimran.wordpress.com/2009/01/04/pig-fat-by-dr-m-amjad-khan/
Beliau telah diselar oleh ramai pembaca Muslim yang telah membuat carian di sekitar internet untuk mencari siapakah dia Dr M Amjad Khan yang kononnya menulis "kajian kode lemak babi" itu, tapi nampaknya Dr Amjad Khan tidak wujud. Nama itu didapati merujuk kepada seorang pelakon India (kemudian diletakkan Dr). Malah, Dr M Liaqat (PhD Food Biochemistry) MA CONSULTING yang kononnya menjadi rakan Dr M Amjad Khan juga tidak wujud. Medical Research Institute United States yang kononnya tempat Dr M Amjad Khan bertugas juga tidak wujud. Yang wujud ialah U.S. Army Medical Research Institute. Ringkasnya, tidak ada sumber sah yang boleh disandarkan atau dipertanggugjawabkan.
Para pembaca laman itu menegur Yasir Imran Mirza, bahawa tindakan beliau kongsikan berita palsu adalah berdosa dan dilarang oleh Islam, namun nampaknya beliau berdegil dan terus memaparkan berita palsu itu hingga ke hari Nota ini saya tulis.
E-CODE YANG DIBERI ADALAH MELESET
Selain dari penulisnya didapati tidak wujud, E-CODE yang diberikan oleh "Dr M Amjad Khan" itu juga tidak betul. Ia mengharamkan kebanyakan E-CODE yang telah dikenalpasti halal. Dari seluruh E-CODE yang diberikan oleh "Dr M Amjad Khan" itu, hanya sedkit saja E-CODE yang dikenalpasti haram. Saya fikir tidak perlulah diperincikan E-CODE dan maknanya memadailah saya kongsikan pautannya. Saudara-saudara bolehlah mencari laman-laman yang lain untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai status halal, selain dari pautan yang saya berikan ini:
(1) Untuk Mengetahui Maksud E-CODE:
(2) Untuk Semak Status Halal E-CODE:
KESIMPULAN
Umat Islam perlulah berhati-hati. Dalam keghairahan untuk kongsikan maklumat sesama kita, hendaklah pastikan terlebih dahulu kesahihan berita tersebut. Ada juga golongan yang berpendapat bahawa "tujuannya baik" maka "itu tidak mengapa". Ini adalah cara berfikir yang bahaya kerana ia akan menyebabkan banyak kerosakan kepada umat Islam di zaman yang banyak fitnah ini.
Kerana itu, jika sesuatu berita yang baru diterima tidak dapat dipastikan kesahihannya, maka sebaik-baiknya janganlah disebarkan. Walaupun pada zahirnya ia nampak menarik, mungkin ia adalah "jerat" yang bakal memerangkap umat Islam itu sendiri. Banyak surat-surat berantai, e-mel berantai dan SMS berantai berjaya disebarkan kerana menggunakan taktik "menjerat" pembacanya dengan "ancaman" (contohnya terima nasib buruk jika tidak disebarkan) dan "ganjaran" (dapat rezeki dsb jika disebarkan kepada ramai orang). Mereka yang kurang berfikir panjang (dan yang inginkan "ganjaran duniawi") terus menyebarkannya tanpa menyelidik terlebih dahulu.
Ada pula yang meletakkan pesanan Rasulullah SAW: "Sampaikanlah walaupun satu ayat" bertujuan agar si pembaca akan terus sebarkan berita itu "kerana menyahut seruan Rasulullah SAW" tapi sayangnya si pembaca tidak siasat terlebih dahulu kesahihan berita yang dikongsikan itu. Inilah antara "trend" yang kita lihat berlaku, tapi segelintir orang masih tidak sedar bahawa itu hanyalah tipudaya yang dimainkan oleh musuh-musuh Islam.
Jika sesuatu itu sudah dikenalpasti sebagai berita benar, dari sumber yang boleh dipertanggungjawabkan dan ianya difikirkan bermanfa'at, maka bolehlah disebarkan, tapi tidaklah semestinya kita yang turut menyebarkannya. Sama-samalah kita berhenti dari menyebarkan sebarang berita bohong atau yang berunsur fitnah, walaupun kita sebenarnya berniat baik.
Apa pun, segala yang telah berlaku ada hikmahnya. Umat Islam akan lebih berhati-hati, akan lebih berusaha mengkaji, dan akan berusaha mengenalpasti musuh-musuh yang ada di sekeliling serta segala tipudaya mereka itu. Kewujudan "pakatan rahsia" untuk memberi orang-orang Islam "makan kotor" dan "makan racun" dsb tidaklah dapat dinafikan, maka jadikanlah itu semua sebagai peringatan kepada kita. Sediakan payung sebelum hujan.
_________________________________
Semoga Allah SWT merahmati kita semua.
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم
Susunan: Hibatullah Yusof Al-Haj
Artikel dipetik dari : http://jejakitinggalanrasul.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan